Saturday, January 14, 2012

Isu MAMPUS UMNO dan akhlak wanita

Sejak penyebaran you tube berkenaan sekumpulan wanita yang bergabung dan bersorak di luar perkarangan Mahkamah Jalan Duta pada hari Anwar dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan, ramai yang kononnya bijak pandai mula memperkatakan tentang akhlak wanita pula. Taktahulah, adakah untuk menenggelamkan komen-komen terhadap Saiful Bukhari Azlan selepas gagal mengheret Anwar ke penjara atas tuduhan yang kita tidak pasti benar atau palsu. Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Atau kerana Malaysia ini terlalu ramai puak-puak chauvinists yang hanya gemar menuding jari dan mengkritik tidak tentu hala.

Saya sudah mula meluat and have enough of sikap manusia yg gemar sgt tunjuk pandai sejak membaca etika pakaian Kementerian Pertahanan. Tak perlu komen panjang dengan tindakan bodoh mengalih bahasa menggunakan google translate. Even kanak-kanak sekolah rendah pun tahu applikasi itu tidak boleh diharapkan sepenuhnya.

Yang saya ingin sentuh ialah kod etika menggunakan "sesuai dengan akhlak yang mulia" ketika menggariskan pakaian yang sesuai dipakai oleh wanita sedangkan tiada kehendak itu diperlukan di dalam garis panduan untuk kakitangan lelaki. Adakah kakitangan lelaki berakhlak mulia sangat? Apakah yang dikatakan sesuai dengan akhlak mulia ini? Apakah akidah seseorang boleh dinilai melalui pakaiannya? Adakah seorang wanita yang bertudung tetapi tidak sembahyang lebih mulia akhlaknya berbanding seorang wanita yang berskirt ke tempat kerja tetapi tidak pernah tinggal sembahyang? Hmmm...tapi jgn salah anggap, saya bukanlah mengatakan tudung itu tidak wajib, tetapi yang saya ingin katakan pakaian bukanlah satu perkara tunggal yang mencerminkan akhlak mulia...

Nama Aiman Athirah Al Jundi tiba-tiba jadi popular gara-gara ungkapan MAMPUS UMNO...ramai yang menyebelahi beliau, ramai juga yang mencela termasuk ahli-ahli Pakatan Rakyat sendiri. Ternyata ramai yang mengkritik berdasarkan apa yang mereka nampak pada zahirnya tetapi gagal untuk menghayati sebab-musabab mengapa beliau dan kumpulan wanita itu bertindak sedemikian. Tapi saya tidak ingin mengupas satu persatu kerana Aiman sendiri telah menjelaskan kedudukan yang sebenar. Bagi yang tidak berdiri di dalam kasut Aiman mungkin masih tidak dapat memahami atau mungkin sengaja tidak mahu memahami. Apa yang saya dapat lihat jika kritikan datang daripada pihak yang satu lagi, saya dapat memahami sbb agenda politik jelas dan tiada persefahaman antara kedua2 belah pihak tapi kalau dr rakan seperjuangan hmm susahlah nak terima lebih-lebih bila mengaitkannya dgn akhlak pula.

Suatu ketika dulu saya sukar terima (maaf ya) kelembaban muslimat dalam Pas. Cara mereka berjalan, bekerja, berfikir serba serbi lambat hingga kadangkala saya boleh hilang sabar. Tapi semakin ramai yang agresif dalam perjuangan mereka. Ini yang kita mahukan. Bukannya sekadar membantu kempen pilihanraya, pergi mengundi dan pulang ke rumah buat kerja seperti biasa tanpa sebarang fungsi penting dalam pentadbiran negara. Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia. Wanita mampu menjadi lebih hebat jika digilap dengan adanya kebolehan multi-tasking. Bukan sekadar penyeri dapur di rumah.

Lagipun, perkataan mampus itu ada di dalam kehidupan kita dan dalam kamus bahasa indonesia...jadi ada apa hal dgn perkataan itu..

Wednesday, January 04, 2012

2012 yang memungkiri janji

Apa jasaku?

Di atas kanvas putihku
Kau pilih warna kesukaanmu

Sedang ku berlari mengejar impian
Kau bentengi
dengan mimpimu sendiri

Kala ku cuba membina kehidupan
Kau cantas sisa harapan
dengan tegakkan citamu

Aku hanya mampu membatu
Turuti segala kehendakmu

Kini kau tanya apa jasaku padamu?

Sunday, January 01, 2012

No Title (Copyright Reserved) Bahagian 8

Nyaring suara azan memecah kesunyian subuh yang hening membuat Aisyah tersedar dari tidurnya.

"Ya Allah, sampai tertidur terus. Baju pun tak sempat-sempat nak ditukar,” Aisyah mengomel sendirian sambil tersenyum dan menarik tualanya ke bilik air.

Selepas meneguk secawan kopi, matanya menjadi segar. Sebelum keluar rumah, dia akan memastikan dirinya berkeadaan menarik dan ceria. Sambil memandang ke cermin yang sengaja diletakkan bersebelahan pintu utama, Aisyah berkata dengan kepada refleksi dirinya bahawa hari ini adalah satu anugerah dan dia akan berusaha menikmati kehidupan hari ini. Cara yang baik memulakan hari yang baru, memberi semangat kepada dirinya sendiri. Tidak perlu menunggu orang lain memberikan perangsang. Inilah yang dipelajari melalui sesi-sesi temujanji dengan Dr. Marzuki. Tina pun telah terikut-ikut caranya itu.

Tiba-tiba dia teringatkan Shira. Masihkah temannya itu berada di Malaysia.

"Sibuk sangat semalam sampai aku lupa nak bertanyakan khabar Shira. Ah, tak apa lah nanti di pejabat aku akan cuba telefon dia.”

Perjalanan ke tempat kerja merupakan satu perkara yang merimaskan Aisyah. Dia hampir jemu dengan kesesakan lalulintas ke ibu kota di awal pagi setiap hari. Bagi melawan kebosanan Aisyah biasanya akan memainkan CD penyanyi kesayangan. Tapi pagi ini tiba-tiba dia berasa jemu dengan album-album yang dimilikinya. Jadi Aisyah membiarkan sahaja kesunyian memenuhi segenap ruang kenderaannya menemani perjalanan yang biasanya mengambil masa satu jam lebih.

Semasa berhenti dipersimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail, matanya terpandang pemandu di sebelah kirinya. Dia terpana. Wajah itu. Jejaka yang menyelamatkan dari dilanggar tempoh hari. Belum sempat Aisyah berfikir panjang kereta itu mula bergerak mematuhi lampu isyarat yang kini hijau.

Aisyah tersenyum sendirian.

Sudah dua kali kita bertemu, mungkinkah ini petanda? Petanda? Ah, aku dan imaginasiku. Imaginasiku yang membawa aku berkenalan dengan Asyraf. Ya, Asyraf. Dia telah tiada. Dr. Marzuki sentiasa memberi perangsang supaya aku melupakan lelaki itu dan mendoakan moga-moga aku akan bertemu lelaki yang baik walaupun mungkin tidak sehebat Asyraf. Aisyah bermonolog sendirian.

Sejujurnya sudah lama dia tidak bertemu dengan Dr. Marzuki. Ini kerana Aisyah pasti dirinya telah kuat menghadapinya. Tetapi sejak akhir-akhir ini, kenangan itu datang kembali. Mungkin dia perlu bertemu Dr. Marzuki lagi.

Sedar tak sedar, dia telah pun berada di hadapan bangunan tinggi yang menempatkan pejabat tempat dia mencari sesuap nasi. Aisyah membelok memasuki ruang tempat letak kereta dan kemudian ke petak khasnya.

"Ha Sabrina, masuk ke bilik saya sekarang,” Aisyah memulakan sapaan paginya kepada setiausahanya itu dengan arahan. Sabrina dengan segera menarik sebatang pen dan sehelai kertas lalu terkedek-kedek membuntuti Aisyah masuk ke biliknya.

Aisyah menyerahkan satu flash drive dan mengarahkan Sabrina untuk menyediakan 12 salinan kertas kerja yang disiapkannya semalaman. Sabrina juga diminta menyediakan beg troli dan segala keperluannya untuk ke mesyuarat di Putrajaya tengahari nanti.
"Oh ya, Cik Aisyah, En. Hakimi tanya saya kenapa Cik tak ajak dia sekali ke mesyuarat tu sedangkan dia pun ada menyumbangkan tenaga dalam research tu. Saya cakap saya tak tahu menahu,” Sabrina cuba menyampaikan pesanan Hakimi sebelum meninggalkan bilik Aisyah.

Aisyah sedar penglibatan Hakimi dalam projek ini tetapi dia tidak pasti sama ada Hakimi bakal memberikan kerjasama atau tidak. Kalau dilihat dari hasil kerjanya ternyata dia bersungguh-sungguh tapi Aisyah ragu-ragu. Dia kenal sangat siapa Hakimi sejak di universiti lagi.

Hakimi memang terkenal dengan sikap sambil lewanya dan gemar mencuri kredit dari hasil kerja orang lain semasa di universiti. Aisyah dan Hakimi juga menjalani latihan dalam kamar di firma guaman terkemuka yang sama. Semasa di firma itu, Hakimi telah cuba sabotaj kerja-kerja Aisyah dalam usahanya memastikan bahawa dia akan terus kekal di firma itu. Akhirnya, rakan kongsi firma guaman berkenaan telah memilih Aisyah dan Hakimi terpaksa meninggalkan firma tersebut. Sejak itu, Aisyah tidak lagi mendengar berita tentangnya.

Aisyah tidak sangka akan bertemu semula dengan Hakimi kali ini di Permata Holdings pula. Aisyah telah menerima tawaran kerja sebagai Pengurus Undang-undang yang dibuat oleh Tuan Azam melalui bos di firma lamanya. Permata Holdings adalah anakguam kepada firma itu. Barulah Aisyah tahu Hakimi telah memohon dan diterima bekerja ke Permata Holdings selepas gagal mendapat tempat selepas tamat latihan dalam kamar.

Tapi kini Aisyah adalah pegawai atasan Hakimi manakala Hakimi masih menjawat eksekutif pematuhan undang-undang. Aisyah bimbang pengalaman lalu akan berulang kembali.

"Tapi mungkin dia dah berubah. Mungkin aku patut beri dia peluang.”

Aisyah menekan interkom kepada Sabrina. Sebaik sahaja, Sabrina mendengar interkom itu, terkocoh-kocoh dia masuk semula ke bilik Aisyah.

"Rina, tolong beritahu pada Hakimi dan Chee Wah, saya jumpa mereka di pejabat Dato’ Seri di Putrajaya pukul 1.30pm. Mesyuarat tu pukul 2pm. Beritahu mereka jangan lewat sebab Tuan Azam dan Dato’ Mustafa pun akan turut sama dalam mesyuarat tu.”

"Baiklah Cik Aisyah. Err..dokumen-dokumen dan barang-barang untuk mesyuarat tu Cik Aisyah nak bawa ke atau nak suruh Hakimi dan Chee Wah bawa?” soal Sabrina meminta kepastian.

"Saya akan bawa, nanti minta tolong Mat masukkan dalam kereta saya ye. Dengan troli sekali ye,” jawab Aisyah.

"Kenapa Cik Aisyah taknak pergi sekali dengan Hakimi dan Chee Wah boleh mereka tolong Cik Aisyah angkat dokumen-dokumen tu nanti?” cadang Sabrina.

"Saya nak ke tempat lain lepas mesyuarat tu,” pendek sahaja jawapan Aisyah. Sabrina bergegas keluar melaksanakan arahan-arahan yang telah diberikan oleh Aisyah.

Memang sengaja Aisyah tidak mahu mereka bersaing ke Putrajaya. Dia tidak mahu berasa kekok bersama Hakimi dalam satu kereta. Ah, biarlah, pandai jugak diorg cari jalan sendiri.

Selepas diberitahu oleh Sabrina bahawa semua dokumen telah tersedia, Mat, si budak pejabat membantu Aisyah memindahkannya ke dalam kereta pula. Selesai semuanya, Aisyah memandu ke Putrajaya sampai memikirkan bagaimana pula dia akan memunggahnya di Putrajaya nanti. Hmm...

Saturday, December 31, 2011

No Title (Copyright Reserved) Bahagian 7

"Selamat pagi Cik Aisyah,” sapa Sabrina, setiausaha Aisyah sebaik sahaja melihat kelibat bosnya itu melintas di hadapan. Sapaan Sabrina tidak berbalas sebaliknya Aisyah terkocoh-kocoh masuk ke biliknya.

Sebentar kemudian kedengaran suara Aisyah dari corong interkom memanggil Sabrina masuk ke biliknya. Sabrina cepat-cepat mencapai pen dan buku catatan sebelum bergegas ke bilik Aisyah. Lebih baik cepat, macam bad mood sahaja, getusnya dalam hati.

"Sabrina, saya nak awak bawa masuk semua fail-fail berkaitan tender Kementerian Teknologi, laporan dan penyelidikan yang saya dah arahkan Hakimi dan Chee Wah sediakan tu. Cepat ye Sabrina, Tuan Azam baru call saya beritahu mesyuarat dengan kementerian tu dipercepatkan ke tengahari esok,” Aisyah memberi arahan satu persatu sambil Sabrina membuat catatan. Patutlah kelam kabut dan mood kurang baik pagi ini, Sabrina berkata di dalam hati.

Tidak berapa lama kemudian, Sabrina kembali ke bilik Aisyah bersama-sama dokumen-dokumen yang dimintanya. Sebelum meninggalkan bilik berkenaan Aisyah telah mengingatkan Sabrina bahawa dirinya tidak mahu diganggu dan meminta Sabrina menyambung panggilan-panggilan penting kepada Fatin. Sabrina mengangguk sambil meminta izin kembali ke mejanya.

Aisyah terus mencapai telefon dan mendail sambungan Fatin. Nasib baik pengurus akaun itu ada di biliknya.

"Fatin! Aku nak minta tolong ambil panggilan-panggilan penting aku ya, kalau ada, nanti Sabrina sambungkan. Tuan Azam minta aku sediakan kertas kerja untuk pembentangan esok. Tolong ya Fatin. Terima kasih. I owe you a lunch.”

Belum sempat Fatin menjawab Aisyah sudah memutuskan talian. Tapi dia sudah masak dengan sikap teman sekerjanya itu. Pasti ada tugas penting yang dikejarnya.

Aisyah menyelak fail dan kertas kerja yang disediakan oleh dua pegawainya itu. Sepanjang hari dia berkurung di dalam biliknya bertungkus lumus menyiapkan tugasnya sehinggakan dia tidak perasan kakitangan pejabat itu sudah mula beransur pulang.

Menyedari bahawa dia kini tinggal seorang di ruang pejabat, Sabrina terpaksa juga mengetuk pintu bilik bosnya itu bagi meminta izin untuk pulang. Sabrina tahu Aisyah tidak suka jika dia terus pulang tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Dulu pernah sekali teruk dia dimarahi oleh Aisyah gara-gara pulang tanpa pengetahuannya.

Tok..tok...

Aisyah mendongak apabila mendengar ketukan di pintunya.

"Masuk,” arah Aisyah.

"Cik Aisyah, kalau tak apa-apa lagi, boleh saya balik sekarang. Dah dekat pukul 7 malam dah ni.”

Aisyah hanya mengangguk dan menunjukkan isyarat tangan membenarkan Sabrina pulang. Kemudian dia kembali meneruskan kerja-kerjanya. Asyik sehingga tidak perasan masa yang berlalu.

**************************************************

Aisyah mencapai telefon bimbitnya yang dalam mode senyap itu sedari tadi asyik bergetar. Entah siapalah yang menelefonnya masa-masa ini. Dibiarkan sahaja kerana dia tidak mempunyai ruang untuk menjawabnya. Dia terpaksa menumpukan perhatian untuk menyiapkan kertas kerja yang diminta oleh pegawai atasannya. Kertas kerja tersebut dijadualkan untuk pembentangan esok selepas rehat tengahari di pejabat Datuk Menteri.

Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 10.30 malam. Tinggal sedikit sahaja lagi yang perlu dibereskan. Selesai memperkemaskan bentuk rupa kertas kerja itu, Aisyah memastikan bahawa dia akan menyimpannya di beberapa ruangan berasingan bagi mengelakkan kehilangan data tersebut. Selepas berhempas pulas, itulah perkara terakhir yang ingin dilaluinya.

Teringat dia pada peristiwa syarikatnya terlepas peluang tender di Kementerian Teknologi gara-gara komputer ribanya diserang virus menyebabkan semua maklumat yang tersimpan di dalamnya termasuk kertas cadangan bagi tender berkenaan lenyap. Kali ini, bukan setakat dalam komputer mejanya, malah disimpan di dalam 2 USB flashdrive yang berasingan dan di dalam emailnya. Aisyah juga telah mencetaknya sebagai sandaran terakhir jika berlaku keadaan-keadaan yang tidak diingini.

"Okay, semuanya dah siap” katanya di dalam hati sambil tunduk memasukkan komputer riba ke dalam beg bimbitnya yang diletakkan di atas lantai.

Semasa sibuk mengemas kertas-kertas yang bertabur di atas meja, Aisyah terdengar bunyi seperti bunyi derap kasut di luar bilik pejabatnya.

"Bunyi apa pulak tu?Rasanya semua orang dah balik” Aisyah tertanya-tanya sendirian sambil melihat jam di dinding yang menunjukkan jam 11.30 malam.

Atas rasa curiga Aisyah bergerak perlahan-lahan menuju ke pintu biliknya cuba memastikan bunyi tersebut. Dia memulas tombol pintunya dan perlahan-lahan membuka pintu berkenaan. Bulu romanya mula meremang.

"Astaghafirullah” terkejut Aisyah apabila Pak Samad, pengawal keselamatan syarikat berdiri betul-betul di hadapan pintu yang terbuka itu. Dia pun nampak terkejut dengan sergahan Aisyah.

"Terkejut saya Pak Samad. Apa Pak Samad buat di pejabat ni. Kenapa tak balik lagi.”

Kenapa tak balik lagi, kehairanan dalam hatinya, Pak Samad tersengih sahaja mendengar pertanyaan Aisyah sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Patutnya saya yang tanya Puan soalan itu. Saya tengah meronda Puan saya nampak lampu di bilik Puan masih bernyala. Kenapa Puan tak balik lagi? Sudah hampir 12 malam ni,” jawab Pak Samad. Rupanya Sabrina lupa memberitahu pengawal keselamatan bertugas yang bosnya masih berada di pejabat.

"Saya rasa elok Puan beransur sekarang, tak elok balik jauh-jauh malam macam ni. Puan memandu sendiri ke atau dijemput?”.

"Memandu sendiri Pak Samad. Iyalah saya dah nak balik lah ni,” jawab Aisyah pula. Dia kembali ke mejanya untuk mengambil beg bimbit dan tas tangannya.
"Puan parking kereta di basement ke?” pertanyaan Pak Samad dijawab dengan anggukan oleh Aisyah.

"Kalau macam tu biar saya temankan Puan ke kereta. Dah malam sangat dah ni,” Pak Samad menawarkan diri.

Aisyah mengangguk dan terus berjalan meninggalkan pejabat ke ruang lobi lif. Masing-masing hanya diam membatu sepanjang perjalanan ke kereta Aisyah. Sebaik sahaja kereta yang dipandu Aisyah hilang dari pandangan, Pak Samad kembali meneruskan rondaannya di sekitar bangunan berkenaan.

Perjalanan pulang tidak mengambil masa yang lama kerana jalanraya telah lengang. Lebih kurang 20 minit memandu, Aisyah sudah boleh nampak pangsapuri kediamannya. Kurang dari 10 minit, Aisyah sudah pun membaringkan dirinya ke katil sambil terkebil-kebil memandang ke dinding. Setengah ingatannya tertumpu kepada pembentangan esok. Harap-harap dia dapat menebus kegagalannya mendapatkan tender membekalkan kabel kepada kementerian yang sama lebih kurang setahun dulu akibat kecuaiannya lantaran masalah dan tekanan peribadi yang menjejaskan prestasi kerja.

Barangkali dihambat kepenatan, Aisyah terlelap bersama pakaian kerja, solekan dan rambut yang masih kemas tersanggul.

Thursday, December 29, 2011

No Title (Copyright Reserved) Bahagian 6

"Kau masih berjumpa Dr. Marzuki, Aisyah?” soalan keramat itu terpacul dari bibir mungil Shira.

Aisyah mencapai gelas minuman dan menghirupnya seteguk, membiarkan pertanyaan Shira berlalu sebentar. Dia mengeluh sambil meletakkan kembali gelas itu ke meja. Dia menyandarkan tubuhnya ke sofa sambil mengeliat kecil. Kemudian bangkit mengheret langkahnya ke beranda bilik suite berkenaan.

Shira masak sangat dengan sikap Aisyah yang sukar meluahkan perasaannya. Dia memerhatikan gerak geri Aisyah dan memberikannya masa bersendiri sebelum mencapai kedua-dua gelas minuman di atas meja dan bergerak merapati Aisyah lalu menghulurkan gelas minumannya.

Aisyah menyambut huluran itu sambil tersenyum kelat.

"Kau ada jumpa Dr. Marzuki lagi?” soal Shira sekali lagi. Kali ini dia menyapa lembut bahu Aisyah memberi isyarat yang dia mahukan jawapan.

Aisyah teragak-agak menganggukkan kepalanya.

"Mana Mr. Ali tangga kau tu?” Aisyah mengubah topik sambil pura-pura ketawa menggiat Shira dengan gelaran Ali tangga kepada suaminya, Alistair. Memang dari dulu lagi Aisyah gemar mengusiknya dengan nama itu.

"Dia ada persidangan apa entah, tentang hijau dan pemanasan bumi. Aku tak bertanya lanjut. Tapi bila dia cakap di Kuala Lumpur, aku teruja sangat terus minta ikut serta, memang nak sangat jumpa kau. Manalah tahu esok-esok dah tak dapat jumpa lagi” ulas Shira panjang lebar sambil ketawa yang nampak sangat dibuat-buat. Ketawanya terhenti, Shira menghela nafas panjang sambil mengukir senyuman kepada Aisyah.

"Apalah kau merepek ni Labu?” kurang senang ayat terakhir Shira. Shira ketawa mendengar Aisyah memanggilnya Labu.

Shira dan Aisyah menghabiskan petang bercerita tentang kerjaya, keluarga, tentang Ireland dan insiden kek terhempas. Kadangkala mereka ketawa terbahak-bahak, adakala terdiam dan melayan perasaan kemudian ketawa semula.

Tanpa Aisyah sedari, adakalanya sambil mengusap rambut Adrian, anak lelaki tunggal kesayangannya itu Shira memandang semahunya wajah Aisyah seolah-olah ingin mengucapkan sesuatu tetapi tidak terluah.

************************************************

Malam itu dengan berat hati Aisyah pulang ke rumah sewanya. Bersendiri di kamar tidur, kembali ke ruang masa yang meresahkan. Setiap malam adalah malam yang panjang buat Aisyah, cuma sejak akhir-akhir ini raungan Hafiz yang protes tidak mahu tidur mengisi keheningan suasana.

************************************************

"Setiap kehidupan pasti ada masalah. Dekatkan diri dengan Allah, sayang, moga-moga semuanya akan berlalu dengan tenang.”

Tergiang-giang di telinganya, Aisyah cuba mencari arah suara itu. Keadaan sekeliling yang gelap dan berkabus. Yang kelihatan hanyalah cahaya yang samar-samar. Aisyah berjalan ke arah cahaya itu cuba mencari jalan keluar. Tak semena-mena langkahnya memijak lohong gelap yang tiada berdasar. Aisyah tidak sempat menarik kakinya dan jika gapaian tangannya tidak disambut nescaya dia akan terjerumus ke lohong hitam itu.

Aisyah menguatkan genggaman tangannya kepada tangan yang menyambutnya. Pemilik tangan itu sangat dikenalinya.

"Asyraf, tolong jangan lepaskan tangan Aisyah. Tolong.”

Aisyah tersedar dari mimpinya sejurus azan subuh. Dia mengusap wajahnya yang kebasahan dengan peluh. Astaghfirullah, tidak sedar bila dia tertidur.
Aisyah turun dari katil, mencapai tuala menuju ke kamar mandi untuk menyiapkan diri bagi memenuhi tanggungjawabnya terhadap Ilahi.

****************************************************

Sunday, December 18, 2011

No Title (Copyright Reserved) Bahagian 5

"Eh makcik! Lama tak dengar cerita. Kau ni kalau orang tak telefon terus sahaja senyap tanpa berita." Aisyah tersenyum mendengar bebelan sahabatnya itu. Shira bukan sahaja pernah menjadi teman sekampus malah teman sebiliknya juga. Sudah 4 tahun lamanya Aisyah tidak mendengar khabar. Paling akhir dengarnya Shira telah berkahwin dengan jejaka pilihan, punya seorang cahayamata dan kini menetap di Ireland.

"Aku sibuk lah, macam-macam benda nak dibereskan. Eh,kau bukan kat Churchtown ke?" tiba-tiba Aisyah teringat.

"Ha, itu sahajalah alasan kau kan. Aku kat KL sekarang. Cuti 2 minggu. Hubby ada conference. Eh! hari minggu ni kau buat apa? Jom jumpa nak tak?" cadang Shira. Lama tak jumpa sahabatnya itu.

"Eh, ye ke? Baguslah. Hari minggu rasanya aku tak ada apa-apa. Boleh juga, lama tak jumpa kau. Mesti banyak cerita ni."

Selepas menamatkan perbualannya dengan Shira, Aisyah terus berkira-kira hendak membelikan buahtangan buat Shira bila berkunjung ke suite penginapannya hari minggu ini. Tentu seronok, fikirnya.


*********************************************************************************

Kotak kek terlepas dari tangannya tatkala seseorang dengan tiba-tiba merentap bahu. Serentak itu, kedengaran hon yang nyaring dan panjang serta teriakan kasar. Pemandu itu juga terkejut barangkali.

"Hoi! Nak mati ke. Nak mati, pergi tempat lain lah."

Aisyah tergamam. Dia memejamkan mata dan menutup kedua-dua telinganya sambil memikirkan apa yang terjadi. Semua berlaku dengan pantas. Perlahan-lahan dia membuka mata dan tersedar yang dia berada dalam pelukan seseorang. Aisyah mendongak dan dirinya disapa dengan senyuman manis seorang jejaka. Aisyah mengamati wajahnya, rautnya kemas. Sambil tersenyum simpul, Aisyah memperkemaskan bahu kemeja jejaka itu. Tersedar tindakan refleksnya mungkin tidak disenangi oleh jejaka itu, Aisyah menjadi tidak keruan.

"Maaf, terima kasih sebab selamatkan saya tadi." Belum sempat Aisyah menghabiskan ayatnya, lelaki itu sudah mula membuka langkah beredar sambil tersenyum dan mengangguk kepalanya.

Wajah itu seperti sangat dikenalinya.


*********************************************************************************

"Eh awak siapa? Awak buat apa di sini?" sapa seorang budak lelaki mengejutkan Asiah dari lamunan.

Asiah bingkas bangun sambil mengibas sisa pasir di punggungnya. Canggung melihat budak lelaki hampir seusianya barangkali. Belum pernah lagi Asiah melihatnya sebelum ini. Mungkin baru sahaja pindah ke kampung ini, getus hatinya.

"Awak tu siapa? Saya tak pernah nampak awak sebelum ini" tanya Asiah kembali.

"Saya baru sahaja sampai di sini," sambil menghulurkan tangannya sebagai salam perkenalan.

Asiah ragu-ragu menyambut huluran salamnya itu seraya melangkah ke belakang sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Asiah terus berpusing dan berlari meninggalkan budak lelaki itu termangu-mangu memikirkan reaksi Asiah.

*********************************************************************************

Aisyah membelok keretanya memasuki perkarangan hotel yang tersergam hebat ini. Dia terpaksa memberhentikan keretanya untuk diperiksa oleh pegawai-pegawai keselamatan sebelum dibenarkan memasuki ruang tempat letak kereta. Sambil menunggu, Aisyah mengeluh mengingatkan kek yang dibawanya sebagai buahtangan untuk Shira barangkali sudah tidak serupa kek lagi selepas terhempas ke jalan tadi.

"Puan,boleh naik. Sila parking ke tempat yang dikhaskan untuk pelawat ya," arah salah seorang pegawai selepas mengambil lesen memandu Aisyah sambil menyerahkan sekeping kad sebesar kertas A4 yang tertulis "VISITOR" dan sekeping touch-card sebagai gantinya.

"Ketatnya sekuriti hotel ni," rungutnya dalam hati. Tidak sampai 2 minit, Aisyah menjumpai satu tempat letak kereta yang tertera "VISITOR ONLY" berhampiran lobi lif.

Selepas mengunci keretanya Aisyah berjalan ke arah lobi lif sambil menjinjit kotak kek yang tidak pasti apa rupanya. Malas Aisyah hendak membukanya. Kalau tidak boleh dimakan, akan disuruhnya Shira untuk membuangnya sahaja.

Laluan Aisyah ke lobi lif berkenaan dihalang oleh pintu selunsur kaca. Puas memikirkan mengapa pintu itu tidak terbuka, tiba-tiba Aisyah teringatkan touch-card yang diberikan oleh pegawai keselamatan tadi. Aisyah mengeluarkan kad itu dari tas tangannya sambil mencari-cari kunci elektronik bagi menyentuh kad tersebut. Ia tersembunyi di belakang dracaena fragrans.

Masuk sahaja ke dalam lif, Aisyah menekan butang 19 dan lif tersebut terus mengikut arahan. Agak menyeramkan berada di dalam lif di sebuah bangunan tinggi sendirian. Imaginasi Aisyah mula menerawang. Bagaimana kalau lif rosak? atau terhempas? Aisyah dengan pantas menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia memandang ke atas lalu terlihat CCTV dengan lit merah yang berkelip-kelip. Lega rasanya ada yang memerhati.

Sebentar kemudian, lif itu sampai ke destinasinya. Lekas-lekas Aisyah keluar meninggalkan lif itu.

"Nanti Shira kena temankan aku turun," getus hatinya. Aisyah membuka langkahnya mencari bilik no.1918.

"1914, 1916..." dia mengira di dalam hati.

"1918!" tanpa menunggu panjang Aisyah memicit loceng di sebelah kiri pintu bilik berkenaan. Kedengaran suara wanita dan kanak-kanak sedang ketawa berdekah2. Tawa itu terhenti serentak dengan bunyi loceng yang dipicit Aisyah.

"Coming." Laungan dari dalam. Aisyah perasan ada pergerakan menerusi bayang-bayang di belakang pintu itu. Kemudian kedengaran bunyi engsel dan serentak itu, pintu bilik terbuka.

"Aisyah!" kelihatan wanita berambut pendek lurus separas telinga dengan highlight kuning karat meloncat-loncat kegembiraan lalu memeluk bahu Aisyah. Aisyah turut mempamerkan reaksi yang sama.

"Eh,masuk masuk," pelawa Shira sambil membuka pintu itu lebih luas. Aisyah terpandang seorang kanak-kanak yang saling tak tumpah wajah Shira berambut agak keperangan.

"Ini mesti Adrian, anak Shira," teka Aisyah. Tekaan Aisyah tidak meleset apabila Shira menyuruh kanak-kanak bernama Adrian itu menghulur salam kepada Aisyah.

Shira mempersilakan Aisyah duduk sambil menyambut bingkisan yang dihulur Aisyah. Kemudian kedengaran mulutnya becok memberi komen tentang kek Aisyah yang tidak serupa kek itu lagi. Aisyah ketawa.

"Ha! Nanti aku cerita kenapa kek tu pecah," ujar Aisyah sambil mengekek ketawanya. Sudah lama dia tidak ketawa seperti itu.

Shira meletakkan kek pecah itu bersama-sama dua gelas jus oren di atas meja hidang Aisyah menahan tawanya melihat keadaan kek tersebut. Shira mengambil tempat di sebelah Aisyah. Dia kemudian menepuk peha Aisyah sambil tersenyum-senyum.

"Lama tak jumpa kau kan," ujar Shira.

Friday, December 16, 2011

No Title (Copyright Reserved) Bahagian 4

"Nnnakk syusu!Nnak syusu!."

Aisyah senyum sendirian terdengar Hafiz, anak Tina yang baru berusia 1 tahun setengah menjerit meminta susu dari ibunya. Dari usia 3 bulan, Hafiz dijaga oleh neneknya lantaran tanggungjawab kerja Tina yang tak menentu. Tina memang tidak percaya untuk meninggalkan anak kesayangannya dengan pengasuh. Hendak tidak hendak terpaksalah Hafiz ditinggalkan di kampung.

Namun, kebelakangan ini ibunya kerap sakit. Tidak sampai hati pula Tina hendak menyusahkan ibunya mengasuh anaknya dalam keadaan kesihatan seperti itu. Lalu, Hafiz dibawa kembali ke ibu kota. Masuk hari ini, sudah seminggu Tina bercuti kecemasan. Tina buntu bagaimana hendak menyelesaikan masalahnya itu. Hendak diharapkan bekas suaminya si kasanova itu, ibarat menjeret leher.

Aisyah kasihan pada Hafiz, kecil-kecil lagi terpaksa menerima akibat kepincangan keluarga. Teringat kepada pengalamannya sendiri. Tok Wan yang mengasuh dan membesarkannya dari bulan pertama dilahirkan sehingga Tok Wan menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika Aisyah berumur 6 tahun.

Ini semua gara-gara ibunya menganggap Aisyah membawa malang. Dari saat ibunya sedar dirinya hamil sehingga Aisyah dilahirkan keluarganya tidak habis-habis ditimpa nasib yang kurang baik. Perniagaan arwah ayah merosot sehingga ayah dan ibunya terpaksa berpindah ke kampung. Arwah ayahnya mengalami tekanan perasaan kerana tidak dapat menerima keadaan tersebut. Kemudian, arwah ayah menemui ajal akibat kemalangan jalanraya pada hari Aisyah dilahirkan. Sejak hari itu, ibunya kemurungan dan tidak menghiraukan Aisyah langsung.

"Syah! Syah! Boleh tolong jagakan Hafiz sekejap tak. Tina keluar beli susunya. Sudah habis."

Laungan Tina mengejutkan Aisyah dari lamunan. Bergegas Aisyah keluar dari biliknya dan mendapatkan Hafiz. Hafiz budak yang baik dan senang dijaga. Walaupun baru seminggu di rumah itu, dia sudah betah dan cepat mesra. Jadi tiada masalah jika Tina ingin meninggalkannya dengan Aisyah.

"Sekejap sahaja ye Aisyah. Tina dah buat susunya tadi. Tapi dah tak ada lagi untuk malam karang. Tolong ye Syah. Kalau dia menangis pandao-pandailah. Terima kasih."

Belum sempat Aisyah menjawab, Tina sudah menghilang dari pandangan.Lalu Aisyah membawa dirinya ke ruang tamu melihat Hafiz sedang ralit dengan botol susunya sambil mata layu menanti lena.

Aisyah melabuhkan punggungnya di sofa membelakang Hafiz. Dia membiarkan Hafiz lena sendiri sambil dirinya melayani sepi.